Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

10/18/2024 | Press release | Archived content

WISMA PUTRA MENYOKONG BELANJAWAN MADANI DALAM MENGANGKAT MARTABAT NEGARA

WISMA PUTRA MENYOKONG BELANJAWAN MADANI DALAM MENGANGKAT MARTABAT NEGARA

Wisma Putra mengalu-alukan pembentangan Belanjawan 2025 Kerajaan MADANI bertemakan "Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat" oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada hari ini, 18 Oktober 2024.

Belanjawan 2025 ini bukan sahaja memfokuskan kepada reformasi ekonomi serta transformasi tadbir urus dan perkhidmatan awam, ia juga memberi penekanan kepada inisiatif ke arah menaikkan siling potensi ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup semua lapisan rakyat di Malaysia.

Kementerian ini menyokong Belanjawan 2025 yang merupakan cerminan kepada usaha berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara dan merancakkan semula ekonomi Malaysia untuk menjadi ekonomi utama Asia.

Kementerian ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan di atas peruntukan RM1,761,946,600 bagi tahun 2025, berbanding RM1,126,598,900 pada tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, RM1,559,050,100 merupakan Belanja Mengurus dan RM202,896,500 Belanja Pembangunan.

Wisma Putra terus komited dalam memperkukuh kepentingan serta memperluas peranan Malaysia melalui diplomasi dua hala dan pelbagai hala di peringkat antarabangsa.

Selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk muncul sebagai ekonomi besar Asia, Wisma Putra akan terus meluaskan pengaruh Malaysia ke platform antarabangsa sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025. Kepengerusian ASEAN yang bertemakan "Keterangkuman (Inclusivity) dan Kemampanan (Sustainability)" akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Malaysia ke arah memastikan kestabilan, keselamatan dan kesejahteraan rantau ini terpelihara, mempromosi perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat.

Sehubungan ini, Wisma Putra akan memastikan peruntukan sebanyak RM560 juta yang diberikan bagi Kepengerusian ASEAN 2025 akan digunakan sebaiknya dalam mengemudi hala tuju ASEAN dan mengetengahkan kepimpinan Malaysia agar Komuniti ASEAN tetap kekal utuh, inklusif, mampan, serta berkembang maju walaupun berdepan dengan cabaran-cabaran serantau dan global.

Melalui Belanjawan 2025, Wisma Putra akan memastikan usaha untuk memperkukuh dan mempertahankan kepentingan strategik negara dalam pelbagai isu sejagat diteruskan. Ini termasuk isu berkaitan keamanan serantau, pembangunan mampan, isu Laut China Selatan, konflik Palestin-Israel, keterjaminan makanan dan perubahan iklim.

Belanjawan ini juga turut memberi suntikan positif kepada Wisma Putra untuk mempertingkatkan perkhidmatan berteraskan rakyat secara telus, pantas dan berkesan. Usaha ini merangkumi penyampaian perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia dan pemberian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Malaysia yang ditimpa musibah atau terkandas di luar negara. Wisma Putra menyambut baik peruntukan yang diberikan bagi meningkatkan keupayaan bantuan konsular ini.

Selain itu, Wisma Putra juga menghargai peruntukan yang diberikan bagi memperkasakan modal insan yang akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi warga Kementerian, di samping memastikan kebajikan mereka terus terpelihara. Belanjawan 2025 juga turut menyalurkan peruntukan bagi memperkasakan Pejabat Perwakilan Diplomatik dengan mengganti aset-aset lama dan menaik taraf serta membaik pulih bangunan-bangunan milik Kerajaan di luar negara.

Wisma Putra yakin bahawa Belanjawan 2025 ini akan memangkin reformasi ekonomi Malaysia dan seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia dan mengangkat martabat Malaysia di mata dunia.

PUTRAJAYA

18 Oktober 2024