Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

09/18/2024 | Press release | Distributed by Public on 09/17/2024 20:31

LAWATAN NEGARA OLEH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG SULTAN IBRAHIM KE REPUBLIK RAKYAT CHINA 19 22 SEPTEMBER 2024

LAWATAN NEGARA OLEH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG SULTAN IBRAHIM KE REPUBLIK RAKYAT CHINA 19 - 22 SEPTEMBER 2024

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk mengadakan Lawatan Negara ke Republik Rakyat China dari 19 hingga 22 September 2024 atas jemputan Presiden Xi Jinping. Lawatan ini merupakan Lawatan Negara pertama KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke China sejak menaiki takhta pada 31 Januari 2024.

Keberangkatan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan diiringi oleh YB Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YBhg. Dato' Sri Amran Mohamed Zain, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dan pegawai-pegawai kanan dari Istana Negara dan kementerian serta agensi yang berkaitan.

Semasa Lawatan Negara ini, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong akan menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing, diikuti dengan pertemuan bersama Presiden Xi Jinping serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Republik Rakyat China. KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong turut perkenan menerima menghadap TYT Perdana Menteri Li Qiang.

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong juga dijadualkan untuk menghadiri upacara penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong, dan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia semasa lawatan ini.

Lawatan Negara ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China yang telah kian berkembang sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada tahun 2013. Lawatan Negara ini juga memberi peluang yang amat baik bagi kedua-dua pihak untuk menegaskan komitmen bersama dalam memastikan hubungan di antara Malaysia dan China terus kekal dengan pendekatan memandang ke hadapan, dinamik, dan makmur demi manfaat rakyat kedua-dua buah negara berdasarkan kepada saling mempercayai dan hormat menghormati.

Lawatan ini juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Selain daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi, pelbagai program rasmi turut dijalankan termasuk pengeluaran setem dan duit syiling peringatan serta penerbitan coffee table book pada 19 Jun 2024 di Kuala Lumpur semasa lawatan Perdana Menteri Li Qiang ke Malaysia. Majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun ke-50 turut diadakan pada 31 Mei 2024 di Beijing dan 19 Jun 2024 di Kuala Lumpur.

Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 billion (USD98.90) yang menyumbang kepada 17.1% perdagangan global Malaysia. Perdagangan terus meningkat pada pertengahan tahun pertama 2024 yang mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (USD49.53 bilion) berbanding dengan RM214.87 billion (USD48.21 billion) pada pertengahan tahun pertama 2023. Pada suku tahun pertama 2024, sejumlah 24 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion (USD 717.7 juta).

PUTRAJAYA

18 September 2024