Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

11/09/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/10/2024 20:02

MALAYSIA MENGECAM SERANGAN ISRAEL YANG MENCEDERAKAN ANGGOTA PENGAMAN MALAYSIA

MALAYSIA MENGECAM SERANGAN ISRAEL YANG MENCEDERAKAN ANGGOTA

PENGAMAN MALAYSIA

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel di Sidon, Selatan Lubnan pada 7 November 2024 yang telah mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan enam anggota pengaman Malaysia yang bertugas dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) serta tiga orang askar Lubnan.

Serangan haram berterusan Israel mencabul Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 yang merupakan asas kepada mandat UNIFIL untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau tersebut. Peranan penting UNIFIL ini tidak boleh terjejas.

Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman PBB serta petugas, konvoi dan infrastruktur misi kemanusiaan perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan. Ini merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi oleh semua negara tanpa sebarang pengecualian.

Malaysia menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan yang segera, tegas, dan bersepadu bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman PBB yang memenuhi mandat Majlis Keselamatan PBB.

PUTRAJAYA

9 November 2024