11/09/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/10/2024 20:02
LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK ARAB MESIR
9 - 12 NOVEMBER 2024
YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Arab Mesir dari 9 hingga 12 November 2024, atas jemputan Presiden Mesir, Tuan Yang Terutama Abdel Fattah El-Sisi. YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri; YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; dan YB Dato' Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Semasa lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri akan disambut oleh Presiden Abdel Fattah El-Sisi di dalam Majlis Sambutan Rasmi, diikuti oleh mesyuarat dua hala. Sesi perbincangan tersebut dijangka akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala melalui peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pelancongan, pendidikan dan hal-ehwal agama, serta penerokaan kerjasama baharu dalam industri halal, kesihatan, air dan tenaga boleh diperbaharui, sumber asli dan kelestarian alam. Kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, terutamanya mengenai konflik di Palestin.
YAB Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan ceramah di Universiti Al-Azhar, menghoskan sesi libat urus bersama kapten-kapten industri tempatan; dan merasmikan pusat operasi pemasangan Proton Saga. YAB Perdana Menteri akan turut mengadakan pertemuan dengan para pelajar Malaysia semasa di Kaherah.
Lawatan YAB Perdana Menteri ini bakal melakar satu sejarah penting di dalam hubungan persaudaraan di antara Malaysia dan Mesir, membuka ruang untuk mempelbagai dan mengukuhkan kerjasama, dan memperkukuhkan asas yang menjadi sinergi keatas usaha-usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.
Mesir merupakan rakan dagang ke-5 terbesar Malaysia di antara negara-negara Afrika pada tahun 2023 dengan nilai dagangan bernilai RM3.35 bilion. Imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia. Bagi tempoh Januari hingga September 2024, jumlah nilai dagangan direkodkan pada RM3 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 21.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
PUTRAJAYA
9 November 2024