Universiti Sains Malaysia

11/26/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/25/2024 22:31

HASRAT IBU LIHAT ANAK ANAK MASUK UNIVERSITI TERCAPAI, ADIK BERADIK TERIMA IJAZAH HARI YANG SAMA

Written on 26 November 2024.

USM PULAU PINANG, 23 November 2024 - Sidang Kelapan Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menyaksikan dua adik-beradik menerima sijil pengijazahan mereka bersama-sama.

Erni Idayu Idris, 37, merupakan penerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) dengan pengkhususan dalam Organisasi manakala adiknya, Erni Suhaila Idris, 35, pula menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) dengan pengkhususan dalam Pemasaran.

Adik-beradik yang berasal daripada Jelutong, Pulau Pinang itu berkongsi pengalaman mereka belajar bersama-sama dalam sesi temu bual selepas upacara konvokesyen mereka.

Oleh kerana teras pengajian mereka sama, adik-beradik ini bukan sahaja dapat menelaah bersama-sama bahkan juga dapat melakukan tugasan berkumpulan dengan mudah.

Walaupun perbezaan umur dan tahun permulaan pengajian mereka (Erni Idayu bermula pada tahun 2014 dan Erni Suhaila pada 2016), mereka berjaya melangkah ke pentas konvokesyen bersama, mencerminkan keazaman dan sokongan keluarga.

Kisah mereka pastinya menjadi kebanggaan keluarga, terutama ibu mereka yang melihat impian menyaksikan anak-anak melanjutkan pelajaran di universiti tercapai.

Upacara Konvokesyen ke-62 USM sedang berlangsung dari 19 hingga 26 November 2024 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk.

Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: MPRC USM