Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

09/08/2024 | Press release | Distributed by Public on 09/08/2024 17:53

LAWATAN RASMI YB MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK TURKMENISTAN 9-10 SEPTEMBER 2024

LAWATAN RASMI YB MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK TURKMENISTAN

9-10 SEPTEMBER 2024

YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Turkmenistan pada 9 dan 10 September 2024.

Semasa lawatan tersebut, YB Menteri Luar Negeri dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Serdar Berdimuhamedov, Presiden Republik Turkmenistan bagi menyerahkan surat jemputan rasmi daripada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri untuk TYT Serdar Berdimuhamedov mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada bulan Disember 2024.

Sewaktu di Ashgabat, YB Menteri Luar Negeri juga akan mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat beliau, TYT Rashid Meredov, yang juga merupakan Timbalan Presiden Republik Turkmenistan, bagi berbincang kerjasama ekonomi, pendidikan, pelancongan dan bantuan kerjasama teknikal.

YB Menteri Luar Negeri juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Gurbanguly Berdimuhamedov, Pengerusi Kebangsaan Majlis Rakyat Turkmenistan.

Lawatan rasmi YAB Menteri Luar Negeri akan didahului dengan Mesyuarat Konsultasi Dua Hala Kelima Malaysia dan Turkmenistan di peringkat Pegawai Kanan pada 9 September 2024.

Pada tahun 2023, Republik Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah, dengan jumlah dagangan bernilai RM48.62 juta (USD10.57 juta).

PUTRAJAYA

8 September 2024