Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

09/08/2024 | Press release | Distributed by Public on 09/08/2024 17:29

LAWATAN KERJA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI kEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE REPUBLIK RAKYAT CHINA 8 - 12 SEPTEMBER 2024

LAWATAN KERJA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA

DAN WILAYAH KE REPUBLIK RAKYAT CHINA

8 - 12 SEPTEMBER 2024

YAB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Rakyat China (RRC) dari 8 hingga 12 September 2024.

Atas jemputan bersama Tsang Wai-Hung, Pengerusi Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (Global Public Security Cooperation Forum Lianyungang - GPSCFL) dan Chen Zinmin, Presiden Persatuan Persahabatan China, YAB Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri Persidangan GPSCFL (Conference of the GPSCFL) 2024 dari 8 hingga 9 September 2024 di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu.

Persidangan ini, bertema "Win-win Cooperation Under Significant Changes: Building A Global Community of Common Public Security", akan melihatkan pemimpin antarabangsa berkumpul untuk menangani masalah keselamatan awam. YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri juga akan mengambil bahagian dalam persidangan ini.

YAB Timbalan Perdana Menteri juga dijadualkan untuk mengadakan perbincangan dengan TYT Wang Xiaohong, Penasihat Negara dan Menteri Keselamatan Awam RRC mengenai perkara yang mempunyai kepentingan bersama kedua-dua negara. Mereka juga dijangka bertukar pandangan berhubung isu serantau dan antarabangsa.

Pada 10 September 2024, YAB Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di Shanghai, yang dianjurkan oleh Halal Development Corporation (HDC), yang akan dihadiri oleh pemain industri halal dari Malaysia dan China. Beliau juga akan menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mara Aerospace & Technologies Sdn. Bhd. dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co. Ltd. dalam bidang penerbangan.

Lawatan ini akan menambahkan lagi momentum kepada hubungan dua hala yang kukuh di antara Malaysia dan China sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini. Hubungan dua hala telah kian berkembang sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) pada tahun 2013.

Untuk lima belas tahun berturut-turut sejak tahun 2009, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar. Pada tahun 2023, jumlah perdagangan dengan Malaysia bernilai RM450.84 bilion (USD98.80 bilion), yang menyumbang kepada 17.1% perdagangan global Malaysia. Separuh tahun pertama 2024 telah mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (USD49.53 bilion). Pada suku tahun pertama 2024, sejumlah 24 projek pembuatan telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion (USD 717.7 juta).

PUTRAJAYA

7 September 2024