Central Bank of Malaysia

03/22/2022 | Press release | Distributed by Public on 03/22/2022 00:40

BIS Innovation Hub serta bank-bank pusat Australia, Malaysia, Singapura dan Afrika Selatan membangunkan platform percubaan pelbagai CBDC bagi penyelesaian antarabangsa

BIS Innovation Hub serta bank-bank pusat Australia, Malaysia, Singapura dan Afrika Selatan membangunkan platform percubaan pelbagai CBDC bagi penyelesaian antarabangsa

Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1435 pada Selasa, 22 Mac 2022
22 Mac 2022
  • Projek Dunbar telah membangunkan dua prototaip platform yang dikongsi bersama bagi membolehkan penyelesaian antarabangsa menggunakan mata wang digital yang dikeluarkan oleh pelbagai bank pusat.
  • Platform ini direka bentuk bagi memudahkan transaksi rentas sempadan secara terus antara institusi yang menggunakan mata wang yang berbeza, dan berpotensi mengurangkan kos serta meningkatkan kepantasan transaksi.
  • Projek ini mengenal pasti cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan platform pelbagai CBDC yang dikongsi bersama oleh pelbagai bank pusat dan mencadangkan reka bentuk penyelesaian yang praktikal untuk menangani cabaran tersebut.

Pada hari ini, Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub, Reserve Bank of Australia, Bank Negara Malaysia, Monetary Authority of Singapore dan South African Reserve Bank mengumumkan penyempurnaan versi prototaip platform yang dikongsi bersama yang membolehkan penyelesaian antarabangsa menggunakan pelbagai mata wang digital bank pusat (multiple central bank digital currencies, mCBDC).

Projek Dunbar, yang diterajui oleh Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, telah membuktikan bahawa institusi kewangan boleh menggunakan CBDC yang dikeluarkan oleh bank-bank pusat peserta untuk melakukan transaksi secara terus antara satu sama lain menggunakan platform yang dikongsi bersama. Pengaturan ini berpotensi mengurangkan pergantungan pada pihak pengantara. Sehubungan dengan itu juga, kos dan masa yang diambil untuk memproses transaksi rentas sempadan dapat dikurangkan.

Projek ini disusun mengikut tiga aliran kerja. Satu aliran kerja memberikan tumpuan pada keperluan dan reka bentuk fungsi pada tahap tinggi, manakala dua aliran teknikal yang bergerak secara serentak untuk membangunkan prototaip menggunakan dua platform teknologi yang berbeza (Corda dan Partior).

Projek ini mengenal pasti tiga persoalan penting: entiti manakah yang patut dibenarkan memegang dan melakukan transaksi dengan CBDC yang dikeluarkan melalui platform ini? Bagaimanakah cara untuk memudahkan aliran pembayaran rentas sempadan dan pada masa yang sama menghormati perbezaan pengawalseliaan merentas bidang kuasa? Apakah bentuk pengaturan tadbir urus yang boleh memberikan keyakinan yang mencukupi kepada negara-negara untuk berkongsi infrastruktur yang sangat penting bagi sesebuah negara seperti sistem pembayaran?

Projek ini menyarankan penyelesaian praktikal untuk menangani isu-isu tersebut. Saranan penyelesaian ini disahkan melalui pembangunan prototaip yang menunjukkan daya maju teknikal platform pelbagai CBDC yang dikongsi bersama bagi penyelesaian antarabangsa.

"Platform yang dikongsi bersama merupakan model yang paling cekap bagi kesalinghubungan pembayaran, namun model ini paling mencabar untuk dilaksanakan. Projek Dunbar membuktikan bahawa kebimbangan utama mengenai kepercayaan dan kawalan bersama boleh ditangani menerusi mekanisme tadbir urus yang dikuatkuasakan melalui kaedah teknologi yang mantap. Hal ini menjadi asas bagi pembangunan platform global dan serantau pada masa hadapan," kata Andrew McCormack, Ketua Pusat BIS Innovation Hub di Singapura.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Encik Fraziali Ismail berkata, "Projek Dunbar yang berjaya disempurnakan ini telah menghasilkan pemahaman yang bermanfaat tentang bagaimana platform pelbagai CBDC berpotensi untuk menyelesaikan isu yang kompleks dalam ruang pembayaran rentas sempadan. Projek ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama bank pusat dalam menyokong pembangunan infrastruktur pembayaran generasi akan datang. Kami berhasrat untuk memanfaatkan pemahaman tersebut melalui pembuktian konsep yang lain untuk meneruskan penerokaan CBDC."

Dapatan projek juga mengesahkan bahawa sebarang pengaturan yang diwujudkan perlu tertakluk pada tadbir urus yang bersesuaian oleh bank pusat peserta. Hal ini termasuk membenarkan bank-bank pusat mengekalkan kawalan terhadap peraturan yang dikenakan pada peringkat bidang kuasa dan mata wang.

Perincian dan kesimpulan projek ini diterbitkan pada hari ini menerusi satu laporan yang menyokong usaha pelan hala tuju G20 untuk menambah baik pembayaran rentas sempadan, khususnya dalam usaha mengkaji dimensi antarabangsa tentang reka bentuk CBDC. Maklum balas mengenai laporan bersama tersebut boleh diajukan kepada pasukan Projek Dunbar melalui [email protected].

Muat turun laporan penuh melalui pautan ini: https://www.bis.org/publ/othp47.htm

Bank Negara Malaysia
BIS Innovation Hub
Monetary Authority of Singapore
Reserve Bank of Australia
South African Reserve Bank

Bank Negara Malaysia
22 Mac 2022

© Bank Negara Malaysia, 2022. All rights reserved.