11/12/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/12/2024 17:43
LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE LIMA, PERU DAN PENYERTAAN YAB
PERDANA MENTERI DALAM MINGGU PEMIMPIN-PEMIMPIN EKONOMI KERJASAMA
EKONOMI ASIA-PASIFIK (APEC) 2024
13 - 16 NOVEMBER 2024
YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Lima, Peru pada 13 November 2024. Beliau juga akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) yang ke-31 yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 November 2024 di Lima.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Luar Negeri dan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Lawatan Rasmi ini merupakan lawatan sulung YAB Perdana Menteri ke rantau Amerika Latin. YAB Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan PYT Dina Ercilia Boluarte Zegarra, Presiden Peru bagi membincangkan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Peru, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta industri Halal, dan juga bagi mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua negara. Kedua-dua pemimpin juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala, khususnya ASEAN dan APEC, serta akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman.
YAB Perdana Menteri juga dijadual untuk mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital.
Bertemakan "Empower. Include. Grow.", Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC di bawah kepengerusian Peru, akan memfokuskan kepada pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan; inovasi; pendigitalan; dan pertumbuhan mampan. Ini merupakan kali ketiga Kerajaan Peru menjadi tuan rumah kepada AELM, selepas tahun 2008 dan 2016.
Penglibatan YAB Perdana Menteri di AELM termasuk menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC pada 14 November 2024, di mana YAB Perdana Menteri adalah ahli panel dalam sesi bertema "Opportunities and Challenges in the AI Revolution". Pada 15 November 2024, beliau juga akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC Dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC). YAB Perdana Menteri akan membuat Pencelahan semasa Sesi Pemukiman AELM pada 16 November 2024.
Di sela-sela AELM, YAB Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain. Sepanjang lawatan beliau, YAB Perdana Menteri akan berkongsi keutamaan-keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan, dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua.
Sebagai salah sebuah ekonomi pengasas APEC, penyertaan aktif Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC mencerminkan komitmen berterusan Negara dalam memajukan kerjasama ekonomi, mempromosikan kesejahteraan bersama, dan mendorong pembangunan inklusif di seluruh rantau Asia Pasifik.
PUTRAJAYA
12 November 2024