11/26/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/27/2024 03:21
Kementerian Kewangan (MOF) telah membuat keputusan untuk mendaftarkan MYDATA Informatica Sdn. Bhd. (MISB) dan One Future Solutions Sdn. Bhd. (OFS) sebagai Agensi Pelaporan Kredit (APK) baharu di bawah seksyen 14 Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 [Akta 710] pada 26 November 2024.
Dengan pendaftaran baharu ini, bilangan APK meningkat daripada lapan (8) kepada sepuluh (10) APK yang berdaftar. Kedua-dua syarikat ini menyertai industri pelaporan kredit, yang dianggotai antaranya oleh CTOS Data Systems Sdn. Bhd., Experian Information Services (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Credit Bureau Malaysia Sdn. Bhd.
Sebagai entiti baharu dalam industri pelaporan kredit, kedua-dua syarikat ini dijangka melaksanakan pelbagai inisiatif penting dalam masa terdekat. Usaha ini sejajar dengan matlamat memperkukuhkan ekosistem dan industri pelaporan kredit negara serta memberi manfaat kepada pengguna dan institusi kewangan.
MOF yakin bahawa MISB dan OFS akan melaksanakan tanggungjawab mereka secara profesional dan mematuhi segala peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta 710. Kerajaan juga akan terus memantau pelaksanaan tanggungjawab ini untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan memenuhi standard yang tinggi serta memberi nilai tambah kepada sektor kewangan negara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
26 November 2024