11/23/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/23/2024 02:58
Written on 23 November 2024.
USM PULAU PINANG, 19 November 2024 - Seiring dengan Upacara Konvokesyen ke-62, Universiti Sains Malaysia (USM) telah melancarkan Ekspo Konvokesyen 2024 (ConvEx '24) dengan perasmiannya pada hari pertama Konvokesyen dijalankan.
Majlis Perasmian ConvEx '24 telah disempurnakan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan di Tapak ConvEx, Kampus Induk USM.
Pada majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed telah mengumumkan bahawa ConvEx bakal diangkat menjadi sebahagian daripada inisiatif Students for Society (S4S) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM).
S4S merupakan satu program di bawah agenda pemerkasaan mahasiswa oleh KPT yang memfokuskan kepada pembangunan komuniti. S4S ini adalah kaedah pembelajaran berasaskan perkhidmatan kepada komuniti bagi memberi pengalaman yang progresif berasaskan enam Teras Pembangunan Komuniti iaitu:
1. Khidmat sosial
2. Pengurusan kemanusiaan
3. Pendidikan berkualiti
4. Kesihatan dan kesejahteraan
5. Kelestarian alam sekitar
6. Advokasi dan kepimpinan
Setiap teras ini selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggalakkan mahasiswa untuk menerapkan ilmu akademik mereka bagi menangani cabaran masyarakat serta menanam semangat keprihatinan sosial.
"Saya berharap agar kerjasama yang dijalin ini akan terus berkembang bagi menjadikan USM sebagai peneraju program komuniti yang menyeluruh dan menjadi contoh kepada universiti lain," ujar Abdul Rahman dalam ucapannya.
Zulkefli mengucapkan tahniah kepada ConvEx kerana telah diangkat dan disokong oleh pihak Universiti untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif (S4S) dalam ucapan perasmian beliau.
"Saya melihat bahawa pengiktirafan ini wajar diberikan kepada meraka terutamanya penyelaras ConvEx kerana mereka sanggup mengorbankan masa, wang dan tenaga malah tidak pulang ke rumah sepanjang cuti semester demi menjayakan Ekspo Konvokesyen ini," ujarnya.
Beliau berharap agar program-program seperti ini dapat terus dijalankan setiap tahun dalam memastikan USM sentiasa melahirkan mahasiswa mahasiswi yang cergas dan proaktif di samping memenuhi moto USM "Kami Memimpin."
Turut menghadiri majlis ini Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Sidang Akademik 2024/2025 USM, Muhammad Arif Esa; Pengarah Projek ConvEx'24, Lim Xiao Qing serta pegawai-pegawai utama Universiti.
Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Jurufoto MPRC