Securities Commission Malaysia

07/04/2024 | Press release | Distributed by Public on 07/03/2024 19:49

SC Beri Amaran kepada Orang Ramai mengenai Penipuan Pelaburan Pra-IPO

SC Beri Amaran kepada Orang Ramai mengenai Penipuan Pelaburan Pra-IPO

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 4 Julai 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memberi amaran kepada orang ramai mengenai penipuan pelaburan yang menjerat pelabur dengan saham pra-Tawaran Awam Permulaan (IPO) syarikat yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia.

Penipuan ini - yang kebanyakannya melibatkan tawaran penempatan persendirian, biasanya ditetapkan selari dengan masa penyenaraian IPO akan datang yang diterbitkan di laman web Bursa Malaysia.

Pelaku penipuan ini yang menyamar sebagai 'ejen', kebiasaannya akan membuat group di WhatsApp untuk mempromosikan pelaburan pra-IPO ini. Berikutan itu, bakal mangsa akan dimasukkan ke dalam group tersebut tanpa kebenaran.

Skim ini mungkin disertakan dengan testimoni palsu daripada pelabur lain agar mereka kelihatan boleh dipercayai. Pembayaran untuk 'langganan' perlu dibuat ke akaun bank entiti yang tidak berkaitan dengan IPO dan disyaki sebagai akaun bank keldai.

Pada hari penyenaraian IPO, 'ejen' ini akan mengumumkan bahawa saham IPO telah disenaraikan dan telah mendapat keuntungan, dan bahawa bayaran tambahan diperlukan untuk saham mereka diperuntukkan. Ini sudah tentunya satu penipuan untuk menjerat mangsa agar memberi lebih banyak wang.

Sehingga kini, SC telah menerima pelbagai aduan dan pertanyaan daripada pelabur yang melaporkan kerugian yang besar iaitu melebihi RM800,000.

SC memandang serius perkara ini dan akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penipuan pelaburan sedemikian.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dalam menilai tawaran pelaburan termasuk memastikan mereka tidak memindahkan atau mendepositkan wang ke dalam akaun yang mencurigakan.

Orang ramai juga digalakkan untuk mengesahkan tawaran pelaburan melalui SC Investment Checker di www.sc.com.my/investment-checker.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA