Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

08/02/2024 | Press release | Distributed by Public on 08/01/2024 22:27

PERKEMBANGAN TERKINI RAKYAT MALAYSIA DI BANGLADESH

PERKEMBANGAN TERKINI RAKYAT MALAYSIA DI BANGLADESH

Kementerian Luar Negeri, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, sedang memantau situasi di Bangladesh secara berterusan.

Kementerian Luar Negeri mengambil maklum terdapat warganegara Malaysia yang berhasrat untuk kembali ke Bangladesh. Memandangkan situasi yang masih tidak dapat diramalkan, warganegara Malaysia adalah dinasihatkan supaya merancang perjalanan mengikut keutamaan dan kepentingan keselamatan buat masa ini. Warganegara Malaysia turut dinasihatkan untuk berdaftar semula keberadaan mereka di Bangladesh dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka. Para pelajar yang ingin kembali meneruskan pengajian di Bangladesh juga dinasihatkan untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejurus selepas mereka tiba di Bangladesh.

Warganegara Malaysia di Bangladesh hendaklah sentiasa berwaspada dan mengelak daripada berada di kawasan yang berdekatan dengan apa jua perhimpunan dan kawasan konflik. Langkah berjaga-jaga harus diambil selaras dengan arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

Kementerian Luar Negeri, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan keselamatan semua warganegara Malaysia yang berada di Bangladesh terjaga. Warganegara yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia melalui butiran di bawah:

SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA DI DHAKA

Alamat: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka

House No. 19, Road No. 6,

Baridhara Diplomatic Enclave,

Dhaka - 1212

People's Republic of Bangladesh

No. Telefon: +880241081892 / 1895

+88 018 4179 8077 (kecemasan sahaja)

Emel: [email protected]

PUTRAJAYA

2 Ogos 2024