11/26/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/26/2024 23:16
Written on 26 November 2024.
USM PULAU PINANG, 26 November 2024 - Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan lagi pada petang ini, dengan Sidang Kelima belas dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.
Sidang terakhir/penutup ini menyaksikan sejumlah 589 graduan Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi dan Sains Kajihayat menerima ijazah masing-masing.
Zulkefli berkata, "Kami hari ini meraikan pencapaian gemilang anda sebagai graduan Universiti Sains Malaysia; anda semua adalah graduan yang sudah dibentuk oleh sebuah institusi yang berpegang teguh kepada falsafah kecemerlangan ilmu.
Tambahnya, "Dunia hari ini penuh dengan pelbagai cabaran. Memiliki ilmu asas sahaja tidak mencukupi. Anda semua perlu memiliki kepakaran khusus dalam apa jua bidang yang anda ceburi."
"Ini akan lebih melengkapkan diri anda untuk menangani isu-isu yang berkaitan, di samping menjadikan anda sebagai agen perubahan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negara."
"Dalam semua bidang yang ada, termasuk bidang komunikasi dan sains kajihayat, ianya memerlukan individu yang bukan hanya memiliki kefahaman dari segi teori, tetapi juga berkebolehan menerapkannya untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu global masa kini," kata Zulkefli seterusnya.
Ujarnya lagi, "Perlu anda ketahui bahawa dunia pekerjaan hari ini berbeza dengan masa lalu. Ia berkembang dengan pantas, terutama dengan adanya kemajuan teknologi digital. Namun, sebagai graduan USM, anda semua telah dilatih untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini, manakala keupayaan untuk belajar serta menguasai kemahiran baharu adalah kunci untuk kekal relevan dalam pasaran kerja."
"Bidang digital, automasi, dan kecerdasan buatan kini menjadi teras dalam banyak sektor. Namun begitu, kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi; ia perlu dilengkapi dengan keupayaan komunikasi dan kolaborasi yang kukuh.
"Keupayaan ini membolehkan anda bekerjasama secara efektif dengan pelbagai kumpulan, sama ada di peringkat nasional mahupun global, untuk mencapai matlamat bersama dengan lebih berkesan," tambah beliau.
Menurut Zulkefli, "Perjalanan anda baru sahaja bermula. Tanamkan dalam diri bahawa salah satu kunci kejayaan selepas pengajian adalah membina rangkaian profesional yang kukuh. Hubungan yang anda jalin di universiti, dari rakan sekelas hingga pensyarah dan alumni merupakan aset berharga.
"Dalam dunia profesional, hubungan ini boleh membuka pintu kepada peluang kerjaya, bimbingan, dan sokongan. Namun begitu, sekadar membina hubungan tidaklah cukup kerana anda juga perlu menjaganya dengan keikhlasan dan integriti. Sentiasalah berhubung, kekal relevan dan berikan sumbangan kepada komuniti profesional anda."
Beliau turut mengingatkan para graduan untuk beradaptasi dengan keadaan semasa, yang mana ianya merupakan salah satu kemahiran penting yang akan memastikan mereka kekal relevan.
"Teknologi baru, ekonomi yang tidak menentu, dan cabaran global memerlukan anda sentiasa bersedia. Belajar untuk kekal fleksibel dan sentiasa mencari peluang dalam setiap cabaran yang dihadapi, serta terus maju walau di mana sahaja anda berada," tambah beliau lagi.
Seterusnya kata Zulkefli, "Sikap positif dan keterbukaan terhadap perubahan ini pastinya kelak akan membantu anda menyesuaikan diri, dan menjadikan anda individu yang dinamik dan lebih berdaya tahan, dan sama pentingnya, lebih berdaya saing.
"Malahan kemampuan untuk berdaya saing di peringkat individu, masyarakat dan negara menjadi asas utama dan penting untuk kelestarian kemajuan sosio-ekonomi sesuatu bangsa, sebagaimana dapat dilihat di negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan."
Beliau turut berpesan kepada graduan untuk menjadi insan yang sentiasa rendah hati walau setinggi mana pun kejayaan yang dicapai.
Pesan beliau, "Tidak kira di mana anda berada atau bidang apa yang diceburi, semoga anda terus diberi inspirasi untuk mencapai kecemerlangan dan memberi kebaikan kepada masyarakat."
Hadir bersama dalam Sidang Kelima belas ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; ahli Lembaga Gabenor USM, Timbalan-timbalan Naib Canselor; ahli-ahli Senat USM; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Dengan tamatnya sidang akhir pada petang ini, Upacara Konvokesyen ke-62 USM yang telah berlangsung di Kampus Induk kini melabuhkan tirainya untuk tahun ini.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: MPRC USM