Securities Commission Malaysia

06/26/2024 | Press release | Distributed by Public on 06/26/2024 04:37

SC Saman Dato’ Dr. Yu Kuan Chon kerana Manipulasi Pasaran

SC Saman Dato' Dr. Yu Kuan Chon kerana Manipulasi Pasaran
Mohon Pengembalian Wang RM26 Juta dan Penalti Sivil

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 26 Jun 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 24 Jun 2024 telah memulakan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Dato' Dr. Yu Kuan Chon (Yu) berdasarkan pelanggaran-pelanggaran berkaitan penipuan dalam pasaran dan manipulasi pasaran saham yang melibatkan saham Shangri-La Hotels (M) Bhd (Shang).

Menurut Pernyataan Tuntutan yang difailkan, SC mendakwa bahawa Yu telah memperdagangkan saham Shang antara 1 Mac 2018 dan 24 Julai 2018 dengan cara yang menyebabkan peningkatan mendadak dalam jumlah dagangan dan harga saham Shang.

Yu didakwa telah berdagang dan berurus niaga dalam saham Shang dengan menggunakan 15 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) semasa tempoh material. Dagangan beliau mewakili lebih kurang 81.9% daripada keseluruhan jumlah saham Shang yang didagangkan di pasaran dalam tempoh tersebut.

SC mendakwa Yu telah terlibat dalam aktiviti manipulasi dalam dagangan saham Shang, dan aktiviti dagangan Yu telah melanggar seksyen 175(1) dan/atau 176(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Dalam guaman sivil tersebut, SC memohon pelbagai perintah termasuk perintah-perintah bahawa Yu:

  1. Membayar SC seperti berikut:
    1. Jumlah wang sebanyak RM26,572,397.70 iaitu tiga kali ganda jumlah keuntungan kewangan sebanyak RM8,857,465.90 yang diperolehi Yu hasil manipulasi tersebut;
    2. Penalti sivil sebanyak RM1 juta;

  2. Dihalang daripada:
    1. Menjadi ketua eksekutif atau pengarah atau terlibat dalam pengurusan mana-mana syarikat awam atau anak syarikatnya, sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk tempoh lima tahun; dan
    2. Berdagang di bursa saham untuk tempoh yang sama.

Manipulasi pasaran menjejaskan integriti dan ketelusan pasaran modal, yang boleh menghakis keyakinan pelabur dan mengganggu kecekapan pasaran.

SC memandang serius manipulasi pasaran dan akan terus mengekalkan pendirian penguatkuasaan yang kukuh untuk melindungi pelabur dan menegakkan integriti pasaran modal.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA