Results

Universiti Sains Malaysia

06/30/2024 | Press release | Distributed by Public on 06/30/2024 06:01

PROGRAM JELAJAH JERAYAWARA SISWA #KITASELANGOR 2024 KUKUHKAN HUBUNGAN STRATEGIK MAHASISWA ANAK SELANGOR

Written on 30 June 2024.

USM PULAU PINANG, 30 Jun 2024 - Perkumpulan Mahasiswa/i Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERMAS) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Negeri Selangor hari ini telah mengadakan Program Jelajah Jerayawara Siswa #KitaSelangor 2024 yang mengumpulkan mahasiswa/i Anak Selangor Universiti Awam (UA) zon utara.

Turut hadir memeriahkan program adalah para mahasiswa/i dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Program ini berinisiatif untuk memperkukuhkan hubungan strategik dua hala antara kerajaan Negeri Selangor bersama para mahasiswa selain meningkatkan keterlibatan mahasiswa dalam agenda pembangunan negeri dan memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyampaikan idea pandangan dari kacamata anak muda.

Berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa USM, program ini telah dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari bersama Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azizah Omar, mewakili Naib Canselor USM.

Amirudin dalam ucapannya memberikan naratif tentang pembangunan ekonomi Negeri Selangor pada masa kini serta sumbangan dan sasaran yang ingin dicapai pada masa akan datang.

Beliau menekankan kepentingan adaptasi dalam menghadapi cabaran masa kini kepada para mahasiswa terutama dalam konteks sumber manusia yang mana mereka perlu bersedia menghadapi perubahan dan permintaan industri yang dinamik.

Sementara itu, Azizah dalam ucapannya berkata, kehadiran Menteri Besar Selangor pada hari ini adalah satu penghormatan besar buat USM yang mana ianya melambangkan komitmen dan sokongan padu kerajaan Negeri Selangor dalam usaha memartabatkan pendidikan tinggi di Malaysia, khususnya di Zon Utara.

"Program seperti ini sejajar dengan aspirasi USM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga aktif dalam menyumbang kepada masyarakat dan moto USM iaitu 'Kami Memimpin'," kata Azizah.

Program turut diselitkan dengan dialog antara mahasiswa bersama pihak kerajaan Negeri Selangor bagi menguar-uarkan inisiatif dan peluang yang ditawarkan kepada mahasiswa Anak Selangor selaras dengan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) Negeri Selangor.

Hadir sama adalah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Zaini Sulaiman; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Mastura Hj Muhamad; Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi; Timbalan Presiden MPP Kebangsaan merangkap Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman; dan Yang Dipertua PERMAS, Nurazmin Afza Nasaruddin.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Siti Ruhaida Mohamed Radhi