Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

11/16/2024 | Press release | Archived content

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE RIO DE JANEIRO, BRAZIL SEMPENA SIDANG KEMUNCAK KUMPULAN 20 (G20) TAHUN 2024 16 - 19 NOVEMBER 2024

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE RIO DE JANEIRO, BRAZIL SEMPENA SIDANG

KEMUNCAK KUMPULAN 20 (G20) TAHUN 2024

16 - 19 NOVEMBER 2024

YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro, Brazil dari 16 hingga 19 November 2024 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Luar Negeri; dan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Kehadiran YAB Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Pemimpin G20 adalah di atas jemputan TYT Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Republik Persekutuan Brazil, yang mencerminkan hubungan diplomatik yang mesra antara Malaysia dengan Brazil. Ia juga memperlihatkan penglibatan aktif Malaysia dalam usaha-usaha kemampanan dan reformasi tadbir urus global. Di bawah kepimpinan Brazil di G20 pada tahun ini, Malaysia menyertai secara aktif dalam dua inisiatif G20 yang signifikan, iaitu Environment and Climate Sustainability Working Group (ECSWG) dan G20 Initiative on Bioeconomy (GIB), yang mencerminkan komitmen negara mencapai penyelesaian kolaboratif dalam bidang tersebut.

Semasa Sidang Kemuncak G20, YAB Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi-sesi mengenai "Fight Against Hunger and Poverty" dan "Reform of Global Governance Institutions". Di sela-sela Sidang Kemuncak G20, beliau juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Negara Anggota Kumpulan G20 untuk membincangkan isu-isu dua hala dan pelbagai hala yang berkepentingan bersama.

YAB Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil, untuk membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brazil, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta industri semikonduktor dan juga bagi mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua negara. Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala, termasuk ASEAN, BRICS dan G20. Beliau juga akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Brazil bagi mempromosikan peluang perniagaan, khususnya dalam sektor minyak dan gas dan teknologi digital.

Penglibatan YAB Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak G20 menekankan hasrat Malaysia untuk memajukan kerjasama ekonomi, menggalakkan kesejahteraan dan pembangunan inklusif serta reformasi tadbir urus global. Lawatan Kerja ini juga membuka peluang kerjasama yang lebih luas untuk Malaysia dan Brazil, apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, dan Brazil sebagai Pengerusi BRICS pada tahun yang sama. Lawatan Kerja ini dijangka akan lebih mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Brazil.

PUTRAJAYA

16 November 2024