Malaysia Airports Holdings Berhad

07/02/2024 | Press release | Distributed by Public on 07/02/2024 02:33

Pusat Dialisis Di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA Diwujudkan Bagi Komuniti Lapangan Terbang

SEPANG - Sebuah pusat dialisis bakal diwujudkan di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA (Masjid KLIA) bagi kemudahan komuniti sekitar Lapangan Terbang Antrabangsa KL (KLIA), khususnya pesakit buah pinggang. Inisiatif ini adalah usaha sama di antara Malaysia Airports dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di bawah program tanggungjawab korporat Malaysia Airports, iaitu MYAirportCARES. Ianya telah dimeterai di dalam satu Majlis Menandatangani Dokumen Usaha Sama (MoC) di antara kedua-dua pihak yang berlangsung di Masjid KLIA pada 28 Jun 2024.

Menurut Mohd Arif Jaafar, Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) [MA (Sepang)] merangkap Nazir Masjid KLIA, "Masjid KLIA adalah sebuah masjid di bawah pengurusan MA (Sepang) dan idea bagi pembinaan pusat dialisis ini dicetuskan oleh Jawatankuasa Zakat Malaysia Airports yang bertanggungjawab mentadbir peruntukan wakalah agihan zakat syarikat. Sebagai salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan, kami sentiasa cakna dengan keperluan komuniti setempat dan sentiasa berusaha untuk memastikan inisiatif-inisiatif tanggungjawab korporat kami dapat
memberi impak yang signifikan kepada masyarakat setempat."

"Kami difahamkan negeri Selangor mempunyai jumlah pesakit dialisis tertinggi iaitu seramai lebih 1,000 orang. Pewujudan pusat dialisis di Masjid KLIA sedikit sebanyak akan dapat membantu memenuhi keperluan pesakit, terutamanya kerana hanya caj rawatan minimum yang akan dikenakan kelak di pusat ini," katanya lagi.

Peranan Malaysia Airports di dalam usaha sama ini adalah dalam penyediaan infrastruktur dan sokongan kewangan, manakala YIDE sebagai rakan kolaboratif utama akan menguruskan operasi pusat dialisis yang akan dibina. Sebanyak RM50,000.00 telah disumbangkan oleh Malaysia Airports kepada YIDE sebagai dana permulaan bagi pembinaan pusat dialisis ini, dan baki dana akan diperoleh daripada wakalah agihan zakat perniagaan dan tabung infaq yang telah ditempatkan di Masjid KLIA bermula 28 Jun 2024.

Majlis menandatangani dokumen usahasama tersebut telah disempurnakan oleh Mohd Arif Jaafar dan Nur Mohd Razali Abdullah, Pengurus Besar YIDE, serta disaksikan oleh Mohamed Rastam Shahrom, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports dan Tan Sri Mazlan Bin Mansor, Pengerusi YIDE. Turut hadir, wakil daripada Lembaga Zakat Selangor, ketua - ketua jabatan kerajaan dan swasta di KLIA dan Pengerusi Jawatankuasa Pengendali Syarikat- Syarikat Penerbangan KLIA (AOC KLIA).