11/12/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/12/2024 02:02
PEMIMPIN-PEMIMPIN ARAB DAN ISLAM MEMBINCANGKAN LANGKAH-LANGKAH
MENAMATKAN KEGANASAN ISRAEL DI TIMUR TENGAH DI SIDANG KEMUNCAK
TERGEMPAR NEGARA-NEGARA ARAB DAN ISLAM, RIYADH
11 NOVEMBER 2024
YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, telah menyertai Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November 2024 di Riyadh, Arab Saudi, untuk membincangkan langkah-langkah menamatkan genosid berterusan rakyat Palestin oleh Israel. YAB Perdana Menteri diiringi oleh YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan.
Pada Sidang Kemuncak tersebut, YAB Perdana Menteri telah menyampaikan kenyataan menegaskan komitmen Malaysia untuk menamatkan keganasan Israel, menyokong perjuangan isu Palestin, dan menyokong resolusi yang dipersetujui oleh Sidang Kemuncak tersebut.
Dalam kenyataan beliau, YAB Perdana Menteri menyeru masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan inisiatif termasuk mengenakan sekatan senjata serta-merta terhadap Israel bagi menghentikan genosid rakyat Palestin. Tindakan tegas tersebut adalah penting bagi menghentikan tindakan ganas rejim Zionis Israel yang berleluasa sehingga mengancam kestabilan rantau berkenaan, berikutan serangan Israel ke atas Lubnan, Iraq, Iran, Yaman, dan Syria.
Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk meneruskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap peranan penting Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dan menolak sekeras-kerasnya keputusan Israel untuk mengharamkan Agensi tersebut. Malaysia menegaskan komitmennya terhadap peranan penting UNRWA dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk membantu mengurangkan penderitaan yang dialami pelarian Palestin.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), yang terang-terangan melanggar Piagam PBB dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta menggesa penggantungan ataupun penyingkiran Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Malaysia menegaskan komitmennya dalam membantu pembinaan semula Gaza dan menekankan keperluan untuk tindakan antarabangsa yang segera dan diselaraskan untuk mencapai objektif ini bagi memudahkan kepulangan semula penduduk Palestin ke tanah air mereka.
Di sela-sela Sidang Kemuncak ini, YAB Perdana Menteri turut bertemu dengan pemimpin dari Kuwait, Lubnan, Maldives dan Arab Saudi untuk membincangkan situasi di Palestin langkah-langkah untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, serta penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China.
PUTRAJAYA
12 November 2024