Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

02/27/2023 | Press release | Distributed by Public on 02/26/2023 20:15

YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR AKAN MENGHOSKAN LAWATAN KERJA PYT SENATOR PENNY WONG MENTERI LUAR NEGERI AUSTRALIA 27 – 28 FEBRUARI 2023

YB DATO' SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR AKAN MENGHOSKAN

LAWATAN KERJA PYT SENATOR PENNY WONG

MENTERI LUAR NEGERI AUSTRALIA

27 - 28 FEBRUARI 2023

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri, akan menghoskan lawatan kerja oleh rakan sejawatnya dari Australia, PYT Senator Penny Wong pada 27 dan 28 Februari 2023. Kedua-dua Menteri dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu yang berkepentingan bersama, termasuklah ASEAN, Myanmar dan AUKUS. Senator Wong juga dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Antara aktiviti lain Senator Wong, termasuklah pertemuan dengan YB Rafizi bin Ramli, Menteri Ekonomi pada 28 Februari 2023, dan juga menghadiri program-program yang telah diaturkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur.

Australia merupakan rakan rapat dan penting bagi Malaysia. Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi hubungan dan meneroka lebih banyak peluang kerjasama di bawah Rakan Kerjasama Komprehensif Strategik (Comprehensive Strategic Partnership - CSP). Kedua-dua pihak mempunyai kerjasama erat dalam pelbagai sektor, antaranya termasuklah pertahanan, sains dan teknologi, pendidikan, pencegahan keganasan, perdagangan dan pelaburan. Pada tahun 2023, Australia dijadual untuk menghoskan Mesyuarat Pemimpin Tahunan (Annual Leaders' Meeting - ALM) yang kedua dan Mesyuarat Menteri Luar Negeri Tahunan(AnnualForeignMinisters'Meeting - AFMM) yang kelima, di bawah rangka CSP.

Pada tahun 2022, jumlah dagangan dua hala di antara kedua-dua negara meningkat dengan ketara sebanyak 55.4% kepada RM88.65 bilion (USD20.05 bilion), menjadikan Australia sebagai rakan dagang kesepuluh terbesar di peringkat global, bagi Malaysia.

PUTRAJAYA

27 Februari 2023