Universiti Sains Malaysia

12/03/2024 | Press release | Distributed by Public on 12/03/2024 01:30

USM TEROKA KEUSAHAWANAN TEMPATAN DAN KELESTARIAN BUDAYA TRADISIONAL DI PASAR KAMU, DELI SERDANG, INDONESIA

Written on 03 December 2024.

DELI SERDANG, SUMATERA UTARA, 3 Disember 2024 - Pusat Penyelidikan Wanita dan Jantina (KANITA), Universiti Sains Malaysia (USM), dengan kerjasama Universitas Sumatera Utara (USU) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah mengadakan lawatan ke Pasar Kamu di Deli Serdang, Sumatera Utara, Indonesia bagi meninjau peluang dan inisiatif unik yang dirancang untuk memelihara amalan budaya tradisional, sambil memperkasakan komuniti melalui keusahawanan dan kelestarian.

Lawatan melibatkan 149 peserta, terdiri daripada 11 orang wakil dari USU, 9 orang dari USM, 9 orang dari UiTM, serta 120 penjual tempatan dari Pasar Kamu.

Kolaborasi ini diterajui oleh Prof. Dr. Ritha F. Dalimunthe dan Dr. Ameilia Zuliyanti Siregar dari USU, manakala delegasi USM pula diketuai oleh Prof. Dr. Saidatulakmal Mohd, Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Selamat, dan Dr. Zaireeni Azmi, bersama Encik Mohd Faiz Fansuri Mohd Affandy, Pegawai Penyelidik USM.

Selain itu, pelajar daripada pelbagai disiplin termasuk Wang Yuan (Kajian Jantina), Farahanim Faizul Zamri (Kajian Pembangunan), Luqman Hakim Samsul Kamal (Antropologi dan Sosiologi), Mohamad Shahrul Azwan Mohd Suhazizol (Sains Politik), dan Teh Chi Chong (Ekonomi) juga terlibat pada program kali ini yang bergiat secara aktif menyumbang melalui wawancara dan pemerhatian terhadap amalan komuniti.

Pada lawatan tersebut, para akademik turut berkongsi ilmu dan kepakaran dengan penjual tentang strategi pemasaran digital.

Timbalan Pengarah KANITA USM, Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Selamat menekankan kaedah untuk meningkatkan kebolehpasaran produk melalui platform seperti Instagram dan Shopee. Bengkel juga memberi fokus kepada penjenamaan, pembungkusan mesra alam, dan amalan perniagaan lestari.

Penjual juga dididik untuk menggunakan pembungkusan terbiodegradasi, seperti daun pisang, untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, sejajar dengan prinsip kelestarian Pasar Kamu.

Pasar Kamu, singkatan kepada "Pekan Sarapan Karya Anak Muda," ditubuhkan pada tahun 2020 oleh belia tempatan melalui inisiatif Kampung Lama Area. Pasar ini direka sebagai platform untuk memperkasakan komuniti dengan mempromosikan amalan masakan tradisional dan keusahawanan yang mesra alam. Usaha kolaborasi antara belia dan pemimpin tempatan telah menghidupkan semula warisan budaya, menjadikannya hab ekonomi dan sosial yang berkembang pesat.

Penjual di Pasar Kamu majoritinya adalah daripada golongan wanita dan golongan belia, sekaligus selain menyediakan peluang ekonomi tetapi juga menguatkan hubungan kekeluargaan dan sosial, di mana kanak-kanak diajar seawal usia mempelajari kemahiran tradisional bersama ibu bapa mereka.

Teks: Mohd Shamimm Nadzeri, Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM

Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar

Foto: Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM