Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

09/03/2024 | Press release | Distributed by Public on 09/03/2024 06:30

RIBUT TROPIKA YAGI DI LUZON, FILIPINA

RIBUT TROPIKA YAGI DI LUZON, FILIPINA


Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila, sedang memantau dengan teliti perkembangan Ribut Tropika Yagi di Luzon, Filipina. Ribut tropika tersebut telah mendarat di bandar Casiguran, Wilayah Aurora pada 2 September 2024. Pada 3 September 2024, ribut tersebut telah berpindah ke perairan persisiran luar bandar Laoag, Wilayah Ilocos. Ribut tersebut dijangka akan merentasi Laut China Selatan dalam beberapa hari akan datang dengan membawa tiupan angin berkelajuan 75km sejam (km/j).


Sehingga jam 4:00 petang waktu tempatan pada 3 September 2024, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat atau terjejas oleh ribut tropika tersebut.


Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan. Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka adalah amat digalakkan untuk berbuat sedemikian di https://ekonsular.kln.gov.my.


Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila melalui butiran yang disediakan di bawah:


KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI MANILA

Alamat: Salcedo Village, 107 Tordesillas,

Makati,
1227 Metro Manila,
Filipina
No. Telefon: +63 8662 8200
+63 917 864 0761 (kecemasan)
Emel: [email protected]
[email protected]

PUTRAJAYA
3 September 2024