Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

12/02/2024 | Press release | Distributed by Public on 12/02/2024 17:53

LAWATAN KERJA SETIAUSAHA AGUNG ASEAN KE MALAYSIA 2 - 4 DISEMBER 2024

LAWATAN KERJA SETIAUSAHA AGUNG ASEAN KE MALAYSIA

2 - 4 DISEMBER 2024

TYT Dr. Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN, akan mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia dari 2 hingga 4 Disember 2024. TYT Dr. Kao akan diiringi oleh pegawai-pegawai daripada Sekretariat ASEAN. Tujuan Lawatan Kerja ini diadakan adalah untuk meningkatkan kerjasama dan penglibatan dengan Malaysia dalam memastikan kejayaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun 2025.

Semasa lawatan ini, TYT Dr. Kao dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. TYT Dr. Kao turut akan mengadakan pertemuan dengan YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, selaku Menteri penyelaras bagi tonggak Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC). Beliau juga dijadualkan bertemu dengan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan YB Dato' Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Menteri-Menteri penyelaras bagi tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) serta YBhg. Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara.

Dalam pertemuan-pertemuan ini, Malaysia akan berkongsi mengenai persiapan keseluruhan bagi Kepengerusian pada tahun 2025 kepada Setiausaha Agung, termasuk bidang-bidang keutamaan dan keberhasilan yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Perbincangan juga akan menyentuh mengenai tema Kepengerusian ASEAN iaitu Keterangkuman dan Kemampanan, dan sokongan yang akan diberikan oleh Sekretariat ASEAN kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memperkukuh lagi koordinasi dan sinergi merentasi ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN. Sokongan dan nasihat berterusan daripada Sekretariat ASEAN kepada semua kementerian dan agensi yang terlibat, khususnya dalam memelihara memori institusi dan penyediaan dokumen penting, akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh inisiatif pembinaan Komuniti ASEAN serta rangka kerja institusinya.

PUTRAJAYA

2 Disember 2024