Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

10/08/2024 | Press release | Distributed by Public on 10/07/2024 19:22

SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE 44 DAN KE 45 SERTA SIDANG SIDANG KEMUNCAK BERKAITAN DI VIENTIANE, LAO PDR 8 11 OKTOBER 2024

SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-44 DAN KE-45 SERTA SIDANG-SIDANG KEMUNCAK

BERKAITAN DI VIENTIANE, LAO PDR

8-11 OKTOBER 2024

YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2024 di Vientiane, Lao PDR.

YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Luar Negeri; YB Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Ekonomi, dan Kementerian Belia dan Sukan.

Selain daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45, YAB Perdana Menteri akan menghadiri Sidang-sidang Kemuncak antara ASEAN dan tujuh (7) Rakan Dialog iaitu, Australia, China, Jepun, India, Republik Korea, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Selain daripada itu, YAB Perdana Menteri akan turut menghadiri Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, sesi-sesi sua muka antara Pemimpin-pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil dari Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (ASEAN Inter-Parliamentary Assembly - AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council - ABAC).

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan akan memberi peluang bagi Malaysia berkongsi perspektif negara secara aktif dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu, termasuk usaha pembangunan komuniti ASEAN dan Visi Komuniti ASEAN 2045, keamanan dan kestabilan rantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baru dan baru muncul, peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan proses ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN, dan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan luar. Malaysia juga akan menyatakan kedudukannya berkaitan isu Laut China Selatan, dan perkembangan di Myanmar, Palestin dan Timur Tengah.

Penglibatan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap ASEAN, usahanya untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi serantau, serta mempromosi dan mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di dalam dan luar Asia Tenggara.

Semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Lao PDR sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

Sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, YB Menteri Luar Negeri akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ke-58, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-28 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-35.

PUTRAJAYA

8 Oktober 2024