12/18/2024 | Press release | Distributed by Public on 12/17/2024 22:56
MAJLIS PENYAMPAIAN CEK SUMBANGAN BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA
KEPADA PALESTIN DI BAWAH INISIATIF KERAJAAN HASHIMIAH JORDAN
Pada 18 Disember 2024, YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri telah menyampaikan cek bernilai USD5 juta kepada Dr. Ismael Maddallah Suliman Maaytah, Duta Besar Jordan. Sumbangan ini menyokong inisiatif yang diterajui oleh Yang Mulia Raja Jordan, Raja Abdullah II Ibn Al Hussein yang bertujuan meringankan penderitaan dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
Menerusi Akaun Amanah Khas Rakyat Palestin (AAKRP), Malaysia dapat meneruskan komitmennya dalam menyalurkan bantuan keperluan asas yang kritikal kepada rakyat Palestin, dengan kerjasama rapat bersama Kerajaan Jordan, agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan negara-negara sepemikiran. Malaysia komited untuk menyalurkan bekalan keperluan asas seperti makanan, sumber perubatan, dan bantuan penting lain bagi memenuhi keperluan kemanusiaan mendesak rakyat Palestin di Gaza.
Malaysia kekal teguh dalam sokongannya kepada rakyat Palestin sehingga mereka mencapai hak untuk menentukan nasib sendiri dalam sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. Malaysia sentiasa lantang dalam solidariti dengan rakyat Palestin, memperjuangkan kebebasan, martabat, dan keadilan mereka di peringkat global.
PUTRAJAYA
18 Disember 2024