Ministry of Defence of Malaysia

12/08/2022 | News release | Distributed by Public on 12/08/2022 01:15

MALBATT HARUMKAN NAMA MALAYSIA DI LUBNAN

MALBATT HARUMKAN NAMA MALAYSIA DI LUBNAN

PORT DICKSON, 8 Disember 2022- Kontinjen Malaysia Batalion 850-9 (Malbatt 850-9) yang berkhidmat di Lubnan di bawah Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) telah menerima penghormatan yang membanggakan apabila dikurniakan pingat pengiktirafan daripada Itali.

Kontinjen ini telah melaksanakan tugas selama setahun bermula 13 November 2021 di Lubnan bagi melengkapkan penugasan sebagai pasukan pengaman dalam misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL).

Kontinjen ini telah diketuai oleh Kolonel Megat Maz Ardi bin Nohuddin, dengan seramai 854 anggota yang terdiri dari 83 pegawai dan 771 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 85 pegawai dan anggota wanita serta 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB)) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan Malaysia.

Anggota MALBATT 850-9 telah mempamerkan sifat profesional tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman yang menjadikan Malaysia terkenal dan disenangi oleh semua pihak di bumi Lubnan.

Lebih membanggakan Komander MALBATT 850-9, iaitu Kolonel Megat Maz Ardi bin Nohuddin telah dikurniakan Pingat pengiktirafan daripada negara Italy iaitu yang disampaikan sendiri oleh Komander Sektor Barat UNIFIL. Beliau merupakan Komander pertama dari MALBATT yang mendapat pengiktirafan tersebut.

Secara totalnya MALBATT 850-9 telah berjaya menguruskan sebanyak 24,198 aktiviti pengoperasian melibatkan Independent and Coordinated Activity With Lebanese Armed Forces (COAWL) di Kawasan Tanggungjawab MALBATT berkeluasan 288 KM persegi yang merupakan Kawasan Tanggungjawab yang paling besar di bawah UNIFIL meliputi keseluruhannya 48 Municipalities disamping menguatkuasakan Mandat dan Resolusi United Nation Security Council (UNSC) 1701.

Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) Malaysian Battalion 850-9 (MALBATT 850-9) telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Indera Haji Yazid bin Haji Arshad TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera pada 5 Disember yang lepas.

Sumber : MyJointForce