Universiti Sains Malaysia

11/20/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/20/2024 09:04

MASS2024: USM MEMACU DAN MEMIMPIN TRANSFORMASI KELESTARIAN, KE ARAH MASA DEPAN YANG MAMPAN

Written on 20 November 2024.

BAYAN BARU, PULAU PINANG, 18 November 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan kecemerlangan pencapaian warga universiti sepanjang tahun lepas dengan menganjurkan Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2023, yang berlangsung di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang.

Majlis gilang-gemilang ini dimeriahkan lagi dengan keberangkatan DYMM Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, bersama DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

'USM memacu dan memimpin transformasi kelestarian, ke arah masa depan yang mampan' telah diangkat menjadi tema majlis pada tahun ini, sesuai dengan aspirasi universiti untuk terus menjadi peneraju dalam memajukan agenda pembangunan penuh kelestarian di peringkat tempatan dan global.

Seramai 183 pemenang telah diraikan pada malam ini di atas usaha gigih mereka untuk mengharumkan nama baik Universiti dalam bidang penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan pembelajaran, kualiti dan kepimpinan masyarakat.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan, kepada semua pemenang, di atas kesungguhan dan dedikasi mereka, yang menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kedudukan Universiti, dan memberi impak kepada masyarakat secara keseluruhannya," ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Dalam ucapan beliau, Abdul Rahman turut mengimbau kembali beberapa pencapaian utama USM sepanjang tahun 2024, antaranya:
1. Bidang Semikonduktor: USM kini diiktiraf di peringkat nasional dengan Model Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri (MRI3) sebagai program unggul dalam pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan.

2. Rawatan Kanser: Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan oleh Brachy Academy, Belanda, dan akan dinaik taraf sebagai pusat rawatan kanser utama di wilayah utara.

3. Kelestarian: USM mengekalkan kedudukan sebagai universiti nombor satu dunia dalam senarai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 16 (Keamanan, Keadilan, dan Institusi Teguh) dan berada dalam kelompok 1% teratas dunia dalam senarai penarafan Times Higher Education Impact Rankings (THE-IR).

4. Penyelidikan dan Warisan: Penemuan tapak peninggalan arkeologi di Bukit Choras, Kedah, oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), yang memperkayakan sejarah dan warisan negara.

Abdul Rahman mengambil kesempatan dalam majlis ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Datuk Dr. Ir Ahmad Tajuddin di atas pelantikan beliau sebagai Pro-Canselor USM mulai September 2024 serta merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Datuk Mustafa Mansur atas sumbangan beliau sejak 2013.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada tiga orang ahli Lembaga Gabenor Universiti yang baru dilantik.

"Saya berharap agar pencapaian, dan kejayaan warga USM, akan menjadi pendorong kepada kita, untuk terus memacu kecemerlangan, selari dengan agenda, dan hala tuju Universiti," uajrnya lagi dalam mengakhiri ucapan.

Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Shahnizam Ab Razak