10/31/2024 | Press release | Archived content
Written on 31 October 2024.
USM PULAU PINANG, 31 Oktober 2024 - Sebagai pemacu inovasi pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan Pelan Strategik CDAE 5.0 melalui Academia Fiesta@USM 2024 dalam memperkukuhkan peranan Pusat Pembangunan Akademik dan Pendidikan (CDAE).
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Narimah Samat, menjelaskan dalam ucapannya kepentingan lima teras pelan ini yang bertujuan untuk mencipta pengalaman Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang lebih berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.
"Pelan Strategik CDAE 5.0 adalah langkah proaktif dan strategik untuk membina ekosistem PdP yang lebih berkesan dan interaktif, dengan tujuan terus menginspirasi generasi akan datang serta memperkasakan kecemerlangan dalam bidang akademik," ujar Narimah.
Pelan Strategik CDAE 5.0 menggariskan lima aspek utama yang menjadi tunjang pelaksanaannya:
1. Transformasi PdP - Menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik dan efektif melalui pendekatan pembelajaran berasaskan student-centered learning (SCL) dan integrasi teknologi (TEL).
2. Penyelidikan dan Inovasi dalam PdP - Menjadi pendorong utama dalam mempertingkatkan kualiti PdP dan membuka ruang kepada penciptaan amalan pendidikan terbaik dalam pelbagai bidang.
3. Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) - Memberi tumpuan kepada pendidikan berterusan yang memastikan warga akademik kekal relevan dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa depan.
4. Kursus Terbuka Global (Global Sustainable Course) - Menggalakkan kesinambungan pembelajaran pada peringkat global serta mendukung inisiatif Pendidikan berteraskan kelestarian.
5. Struktur dan Pengurusan CDAE - Menjadi asas penting bagi memastikan pelaksanaan inisiatif pelan strategik ini dijalankan dengan berkesan dan teratur.
"Dengan pendekatan holistik ini, CDAE 5.0 dijangka akan menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam landskap pendidikan USM, sekali gus mengukuhkan aspirasi universiti untuk kekal di hadapan dalam dunia Pendidikan global," jelas Narimah.
Narimah turut menzahirkan harapan agar usaha ini terus menerima sokongan dan menjadi inspirasi kepada warga USM dalam perjalanan mencapai kecemerlangan pendidikan yang mampan dan berterusan.
Teks: Shafinaz Md. Ismail