11/24/2024 | Press release | Distributed by Public on 11/24/2024 00:23
Written on 24 November 2024.
USM PULAU PINANG, 24 November 2024 - Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan lagi pada pagi ini dengan Sidang Kesepuluh yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.
Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada 749 graduan Sarjana dan Sarjana Muda dalam jurusan kejuruteraan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa; Kejuruteraan Awam; Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral; Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Kejuruteraan Kimia; dan Kejuruteraan Mekanik.
Menurut Zulkefli, bidang-bidang kejuruteraan adalah teras kepada pembangunan dan kemajuan teknologi, yang bukan sekadar memacu inovasi, tetapi berperanan penting dalam mencari penyelesaian kepada pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat.
"Oleh itu sumbangan jurutera, daripada berkaitan infrastruktur yang kukuh hingga teknologi lestari, adalah kunci untuk memastikan kita terus bergerak seiring dengan perkembangan global.
"Ijazah yang diperolehi para graduan hari ini mencerminkan dedikasi, ketekunan, dan semangat ingin tahu yang tinggi dalam menguasai bidang yang mencabar ini," kata Zulkefli.
"Namun, dalam dunia yang sentiasa berubah, keupayaan teknikal sahaja tidak mencukupi. Graduan dan jurutera masa kini perlu memiliki daya tahan tinggi, pemikiran kreatif, keberanian meneroka penyelesaian inovatif, serta kemampuan adaptasi dengan perubahan teknologi dan keperluan industri," menurutnya lagi.
"Saya yakin USM telah melengkapkan anda semua dengan ilmu, kemahiran teknikal, serta ciri kepimpinan dan daya saing untuk menghadapi cabaran masa depan setanding dengan individu lain di peringkat global.
"Justeru saya menyeru anda semua untuk melangkah ke dunia yang penuh dengan peluang dan cabaran, dengan penuh keyakinan sambil membawa bersama nama USM dalam diri masing-masing," ujarnya.
Zulkefli berkata, "Setiap kemahiran dan pengetahuan yang telah anda peroleh adalah pemboleh (atau enablers) yang perlu dimanfaatkan untuk mengubah masa depan."
"Kami di USM mengharapkan anda dapat memulakan langkah untuk terus berkembang, berinovasi, dan berani menghadapi apa jua halangan. Jangan melangkah sebagai seorang jurutera semata-mata, tetapi juga seorang pemimpin yang berintegriti," tambah beliau.
Kata beliau lagi, "Ingatlah juga bahawa setiap pengalaman di USM - daripada latihan industri, program bersama pusat-pusat pengajian hingga projek bersama syarikat ternama, merupakan batu loncatan untuk anda semua menuju kejayaan dalam kerjaya masing-masing. Always strive to be the best, and be the best that you can be on your chosen profession."
"Jadilah pemimpin yang bertanggungjawab, individu yang inovatif, dan jurutera yang peka terhadap keperluan masyarakat," tambahnya lagi.
Kata Zulkefli mengakhiri ucapan, "Teruskan usaha anda untuk menimba ilmu, mengembangkan potensi diri, dan USM sentiasa akan menjadi rumah anda, alma mater yang akan menyokong dan meraikan setiap kejayaan anda."
"Juga jangan dilupa sokongan dan dorongan kesemua mereka yang bersama anda setiap langkah dalam mencapai kejayaan, sama ada ibubapa, ahli keluarga, serta seluruh warga USM yang terlibat," pesan Zulkefli.
Turut hadir dalam Sidang Kesepuluh ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; ahli Lembaga Gabenor USM; Timbalan-timbalan Naib Canselor; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM; ahli-ahli Senat USM; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Upacara Konvokesyen ke-62 USM kini sedang dilangsungkan bermula dari 19-26 November 2024 di Kampus Induk USM.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: MPRC USM